MELBOURNE — Gara-gara ingin menebus maruah keluarga, seorang lelaki terpaksa akur apabila dihukum penjara maksimum 23 tahun kerana didapati bersalah membunuh kekasih isterinya, dua tahun lepas.
Australian Associated Press (AAP) melaporkan Hakim David Davies menjatuhi hukuman itu terhadap Hazairin Iskandar, 58, kerana membunuh Mohd. Shah Saemin, yang berasal dari Melaka. Hazairin Iskandar diperintah menjalani hukuman penjara minimum 17 tahun.
Mohd. Shah meninggal dunia akibat diserang Hazairin dan anak lelakinya, Andrew, di luar rumah pangsa Leichhardt, tempat tinggal Mohd. Shah, di Sydney pada malam 21 Februari 2010.
Hazairin, yang berasal dari Indonesia, menikam Mohd. Shah sekurang-kurangnya empat kali dengan sebilah pisau, manakala anaknya pula memukul mangsa dengan tukul.
Mahkamah diberitahu bahawa Mohd. Shah, yang bertugas sebagai pemandu di pejabat konsul Malaysia di Sydney, menjalin hubungan sulit dengan isteri Hazairin, Nita, yang bekerja di tempat sama.
Pada Mac tahun ini, Andrew dihukum penjara sekurang-kurangnya 18 tahun kerana pembunuhan itu, manakala Nita dikenakan ikat jamin berkelakuan baik selama dua tahun kerana mempunyai kaitan dengan jenayah tersebut Nita, yang hadir di mahkamah, menangis apabila hakim menjatuhi hukuman itu. -BERNAMA