KUALA TERENGGANU - Seorang bapa kepada lapan anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas empat tuduhan merogol anak kandungnya.
Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 43 tahun dan bekerja sendiri itu mengaku tidak bersalah selepas keempat- empat pertuduhan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram terhadap anaknya dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram terhadap anaknya yang ketika itu berusia 12 tahun di dalam ladang getah Kampung Padang Tapong, Jertih, Besut, kira-kira jam 10 hingga 11 malam, pada Ogos 2007.
Tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap anaknya yang ketika itu berusia 16 tahun di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin Kampung Padang Tapong, Jertih, Besut, kira-kira jam 7.30 pagi, Mei 2011.
Selain itu, tertuduh didakwa turut melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa sama ketika anaknya berusia 17 dan 18 tahun di kawasan hutan, Kampung Padang Tapong, Jertih dan kawasan ladang sawit di Kampung Padang Tapong, Jertih, Besut.
Dia didakwa melakukan dua kesalahan itu kira-kira jam 10 pagi pada Mac 2012 dan jam 12 tengah hari pada 21 Ogos lalu.
Bagi setiap pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Mohamad Nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Wan Fadhilah Nor menetapkan 22 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.