RANTAU PANJANG - Seorang tukang jahit tidak menjadikan keuntungan berlipat kali ganda sebagai keutamaan dalam setiap urus niaga dan tetap meletakkan harga upah yang sama kepada pelanggan sejak 20 tahun lalu.
Wan Kasma Wan Yusoff, 51, berkata, dia mudah kasihan sekiranya meletakkan harga yang mahal untuk upah menjahit baju, walaupun mempunyai pelanggan dalam kalangan penjawat awam dan swasta, namun harga yang sama dikenakan kepada mereka.
Menurutnya, penduduk kampung ada memintanya menaikkan harga upah menjahit kerana kesusahan hidup namun, dia tetap meletakkan harga sama demi menjaga hubungan baik dengan pelanggannya sejak dahulu lagi.
“Perkembangan dunia fesyen Muslimah kini banyak membantu sehingga saya dikenali penduduk kampung bersebelahan, Rantau Panjang dan Pasir Mas.
“Meskipun dapat upah kurang, namun saya bersyukur kerana ia dapat menyara keperluan kami sekeluarga,” katanya.
Wan Kasma berkata, kesulitan hidup memaksa suami, Ramli Che Long, 51, bekerja di Kuala Lumpur bersama anak kedua.
Katanya, hasil pendapatan akan diagihkan untuk keperluan seharian bersama anak ketiga yang masih menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Ia juga digunakan untuk keperluan anak bongsu yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bulan depan.
“Saya percaya, sekiranya saya bantu pelanggan, maka Tuhan akan melipat gandakan rezeki melalui cara lain,” katanya.
Walaupun tidak mempunyai modal yang banyak, namun Kasma menanam impian membuka kedai pakaian dan memperluaskan pasaran di seluruh Kelantan.