MISI hidup mati The Red Warriors untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia kali kedua bakal ditentukan bermula dengan bertemu musuh tradisi, Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.
Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi berkata, peluang pasukannya untuk mengintai slot ke suku akhir banyak bergantung pada pertemuan malam esok dan tidak mempunyai pilihan selain perlu menewaskan Terengganu di gelanggang lawan.
“Kelantan wajib menang dalam baki dua perlawanan terakhir dan tugas berat kami bermula apabila bertemu Terengganu malam esok. Sebarang keputusan yang tidak memihak Kelantan bakal menyempitkan laluan kami untuk pusingan seterusnya.
“Tidak ada istilah seri atau tewas. Kami pergi ke sana untuk mendapatkan tiga mata dan dalam pertemuan sengit seperti ini, kami kena beri komitmen bukan 100 peratus, tetapi lebih daripada itu jika mahu mencapai kemenangan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, kehadiran semula tiga pemain kebangsaan, Mohd Shakir Shaari, Nik Mohd Shahrul Ab Azim dan Ahmad Fakri Saarani selain tahap kecederaan dialami Khairul Fahmi Che Mat serta Mohd Farisham Ismail yang semakin pulih memberi perkhabaran gembira buat pasukannya untuk menghadapi Terengganu.
“Saya tak pasti adakah Dickson Nwakaeme boleh beraksi atau tidak. Tetapi saya berharap Ahmad Fakri kembali lebih tajam di depan gawang Terengganu dan memanfaatkan setiap peluang dimilikinya,” katanya.
Perancang tengah berusia 31 tahun itu bagaimana pun mengakui pasukannya berdepan tekanan untuk menewaskan Sang Penyu setelah skuad kendalian E Elavarasan kembali mencapai prestasi sebenar selepas mencatatkan kemenangan sulung ke atas Pahang, 31 Ogos lalu.
“Kelibat beberapa pemain Terengganu seperti Mohd Ashari Samsudin, Abdul Manaf Mamat, G Puaneswaran dan Jean Emmanuel Effa Owona antara yang perlu diberi perhatian oleh benteng pertahanan kami, malam esok,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Badhri atau dikenali Piya, menggesa rakan sepasukannya mengetepikan isu perpindahan pemain yang melanda kem Kelantan baru-baru ini, sebaliknya memberi tumpuan terhadap pertemuan menentang Terengganu.
“Memang isu itu mengganggu emosi kami. Jika kalah, mungkin peminat akan anggap kami sudah tawar hati bermain dengan Kelantan dan tengah sibuk cari pasukan lain untuk musim depan. Walhal, perkara itu tidak benar dan saya tak mahu persepsi itu dilemparkan ke atas kami,” katanya.