Advertisement

Responsive Advertisement

Berang bekas isteri enggan serah anak


KOTA BHARU - Seorang pekerja am sebuah institusi kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan khianat dengan merosakkan kereta serta memukul bekas isterinya, Mei lalu.

Tuduhan terhadap Mohd Omar Saipol, 32, dari Perupok, Bachok, dibuat mengikut Seksyen 427 dan 323 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa berbuat khianat dengan memijak bonet dan menendang pintu kereta di sebuah pejabat di belakang pasar raya Tesco di sini, pada jam 9.40 pagi, 7 Mei. Turut dirosakkan, telefon milik syarikat.

Sementara, pada tuduhan kedua, dia didakwa memukul mangsa dengan tangan dan segugus anak kunci, pada masa, tarikh dan lokasi sama. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Pada prosiding semalam, tertuduh bagaimanapun menafikan tuduhan itu sebaliknya memberi alasan dia bertindak sedemikian kerana isterinya enggan menyerahkan anak mereka.

“Saya pergi untuk mengambil anak, tetapi dia tidak benarkan. Padahal, ada arahan dari Mahkamah Syariah yang membolehkan saya mengambil anak dua hari seminggu,” katanya.

Majistret, Nik Habri Muhamad bagaimanapun menyifatkan tindakan tertuduh itu menyebabkan kerugian kepada dirinya sendiri.

“Kalau betul, kenapa tidak buat aduan. Isteri kamu boleh didakwa menghina mahkamah kerana tidak patuh pada arahan. Satu kerugian pada kamu yang asalnya tidak salah, tiba-tiba menjadi salah apabila bertindak begini,” katanya.

Selepas itu, Nik Habri kemudian menetapkan sebutan semula pada 20 November depan dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta diarah menjauhkan diri daripada bekas isterinya itu.

Jamin boleh terbatal sekiranya ada aduan lain daripada mangsa.