Advertisement

Responsive Advertisement

Diserbu tunggu pelanggan


KOTA BHARU - Perbincangan dua lelaki yang disyaki pengedar dadah sementara menanti pelanggan di tepi jalan berhampiran sebuah sekolah terbantut, selepas diserbu sepasukan anggota dan pegawai polis, di  sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, menyedari kehadiran polis di kawasan Jalan Long Yunus itu, kira-kira jam 9.15 malam, dua lelaki terbabit, masing-masing menaiki motosikal berasingan cuba melarikan diri.

“Semasa melarikan diri, kedua-duanya mencampakkan beberapa bungkus plastik biru berisi pil yang disyaki methapitamine (pil kuda).

“Salah seorang lelaki berusia 32 tahun yang juga penganggur membuang tiga plastik biru berisi 591 biji pil berwarna merah dan hijau dalam semak,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, semalam.

Azham berkata, seorang lagi pemuda berusia 29 tahun yang bekerja sebagai jurujual aksesori kereta, turut membuang 148 biji pil.

Bagaimanapun, kedua-duanya berjaya ditahan bersama jumlah pil dianggarkan bernilai RM15,000, selain wang tunai RM3,522, hasil pemeriksaan di badan kedua-duanya.

Penganggur terbabit ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan didapati positif methapitamine.

“Manakala jurujual aksesori kereta itu bakal berdepan hukuman di bawah Seksyen 39A(1) ADB dan semasa pemeriksaan urin, dia bebas pengaruh dadah.

“Mereka ditahan reman seminggu, bermula kelmarin sehingga 13 Oktober ini,” katanya.

Sementara itu Azham berkata, pihaknya memandang serius kegiatan pengedaran dadah di negeri ini kerana ia berada pada tahap serius.

Azham berkata, setakat Januari hingga September lalu, pihaknya berjaya melakukan 2,480 tangkapan dan ia kejayaan terbesar pasukan, berhubung kes terbabit melibatkan pelbagai kesalahan termasuk kes 39A dan 39B.