KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal dua anak mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan mencuri 15 barangan penjagaan kulit, milik sebuah pasar raya di Machang, Rabu lalu.
Hukuman terhadap wanita itu bagaimanapun ditangguhkan Pendaftar Mahkamah Majistret, Amni Mat Jahari pada 13 Oktober ini.
Nur Erma Azmi, 25, dari Kampung Kaabah didakwa mencuri pelbagai barangan penjagaan kulit muka dan badan berjenama Safi, Garnier dan Shurah di Econjaya Machang, pada jam 1.30 tengah hari, 2 Oktober lalu. Turut dicuri dalam kejadian itu lampin pakai buang bayi bersaiz XL.
Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Liyana Md Zukri tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun permohonan itu dibantah peguam bela dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan yang mewakili tertuduh.
Amni kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.