Advertisement

Responsive Advertisement

Derita cecair dalam kepala

Derita cecair dalam kepala
Nor Huzaipah tabah membesarkan anaknya yang mengidap kepala besar.
TUMPAT - Sejak usianya seminggu, anak kecil ini sudah menjalani pembedahan bagi mengeluarkan cecair di dalam kepalanya.

Sejak itu, perasaan ibunya, Nor Huzaipah Yaacob, 32, sentiasa tidak keruan kerana anaknya, Muhammad Nur Awal Zafran Md Huzaifah, 17 bulan disahkan mengidap penyakit hidrosefalus atau sinonimnya kepala besar.
"Kepalanya membesar sehingga 52 sentimeter, dulu masa lahir ukur lilit kepalanya hanya 41 sentimeter sahaja.
"Disebabkan itu juga, Muhammad Nur Awal hanya mampu terbaring tetapi bertindak balas apabila disapa dan mampu mengerakkan kaki dan tangan," katanya yang tinggal di Kampung Kebarat.

Menurutnya, sudah dua kali anaknya dibedah di kepala kerana ada komplikasi ketika dia berusia enam bulan.
Katanya, pembedahan itu bagi memasukkan tiub sepanjang dua meter di kepala hingga perut bagi mengeluarkan cecair daripada kepalanya menerusi air kencing.

"Ia dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian membabitkan kos RM50,000 tapi ditanggung Tabung Kebajikan Hospital," katanya.

Menurut Nor Huzaipah, sejak itu, anaknya dirujuk kepada enam doktor pakar iaitu pakar mata, telinga, fisioterapi, pediatrik, neurologi dan audiologi.

"Kedua-dua matanya tak dapat melihat, sebelah telinga juga tak dapat mendengar. Saya hanya dengar sekali tangisannya ketika dia keluar menjengah dunia.

"Walau apa pun keadaannya, saya reda mudah-mudahan kepalanya berhenti membesar dan dia dapat berjalan seperti kanak-kanak lain," katanya.

Tambahnya lagi, sejak kelahiran anak tunggalnya itu sehingga sekarang, hospital menjadi rumah keduanya. "Muhammad Nur Awal hanya bergantung kepada susu khas yang diminum menggunakan tiub yang dipasang di hidung. Saluran tekaknya bermasalah, ada ketumbuhan dan baru menjalani rawatan laser pada awal bulan ini.
"Setiap bulan saya peruntukan belanja RM400 untuk membeli susu anak, pihak hospital ada bagi susu khas tapi tak mencukupi," katanya.

Menurutnya, pendapatan suami, Md Huzaifah Yaasa, 33, yang bekerja di Kuala Lumpur sebagai pemandu lori hanya sekitar RM1,500 sahaja.

"Sebelum ini saya pernah terima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sebanyak RM1,000," katanya.

Sesiapa yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan  ke dalam akaun Nor Huzaipah Yaacob nombor akaun Maybank 153010-857053.