Advertisement

Responsive Advertisement

Derma RM1 bantu rakyat Palestin

Derma RM1 bantu rakyat Palestin
Sebahagian ahli Kelab Bumi Rahmat Diraja Cik Siti Wan Kembang Kelantan melancarkan Misi Tabung Keamanan Gaza di Pasar Besar Siti Khadijah semalam
KOTA BHARU – Hanya dengan RM1 anda dapat membantu meringankan kesengsaraan rakyat Palestin yang sedang menderita.
Misi Tabung Keamanan Gaza merupakan antara aktiviti amal Kelab Bumi Rahmat Diraja Cik Siti Wan Kembang Kelantan yang dilancarkan di Pasar Besar Siti Khadijah semalam bagi merealisasikan kempen bantuan itu.

Yang Dipertua  Kelab Bumi Rahmat Diraja Cik Siti Wan Kembang, Tengku Fadzillah Hussin berkata, keputusan untuk lancarkan misi ini adalah untuk membangkitkan perasaan belas kasihan kita kepada masyarakat Islam di sana.

Menurutnya, misi yang bermula 11 pagi itu berjaya mengumpul sebanyak RM3,000 di tiga tempat berlainan iaitu Pasar Siti Khadijah, perkarangan pusat membeli belah Parkson dan juga Pantai Timur.

“Misi ini akan bergerak ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini dan kami akan menyambung jelajah ini ke seluruh pelosok daerah di Kelantan bermula pada 4 Disember depan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ketika ditanya mengenai sasaran untuk misi tersebut, Tengku Fadzillah memberitahu, sebanyak RM1 juta menjadi sasaran Kelab berkenaan.

“Kami sasarkan RM1 juta dan jika setiap orang menderma lebih dari RM1, kami yakin kami berjaya kumpul sasaran tersebut.
“Mendermalah seikhlas hati, walaupun RM1, sekurang-kurangnya kita telah membantu mereka walaupun dalam aspek yang berbeza,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai supaya tidak menutup telinga dan mata terhadap keganasan yang berlaku di Palestin dan berharap dengan sumbangan ikhlas yang diberikan rakyat Malaysia dapat meringankan beban masyarakat
Palestin terutamanya kanak-kanak yang kehilangan keluarga.

Sementara itu, seorang peniaga di pasar itu, Yusri Yusoff,  turut menyatakan perasaan sedih yang dialami tentang nasib penduduk Islam di Palestin.

“Saya sangat sedih melihat kanak-kanak ditinggalkan bersendirian di tepi jalan tanpa makanan dan ada di antara mereka yang berumur bawah 3 tahun meninggal dunia akibat bom dan juga serangan Israel," katanya.