Advertisement

Responsive Advertisement

Nama Baling ke Jepun


BALING - “Saya akan bawa nama Baling ke Jepun dan pastikan maklumat mengenai Baling ada dalam buku panduan pelancong di Jepun,” kata Satoko Tanabe, 48, dari Oyama, Jepun, yang bercuti di daerah ini tiga hari lalu.

Satoko yang bertugas di pusat pentadbiran Oyama berkata, dia hairan kerana buka panduan pelancong di negaranya tidak menyebut mengenai Baling berbanding tempat lain.

Menurutnya, Baling destinasi yang paling sesuai kepada mereka yang ingin mencari suasana kehidupan di desa.
“Kepelbagaian jenis makanan termasuk nasi lemak turut menjadi ikon pelancongan,” katanya.

Ditanya mengapa memilih Baling sebagai destinasi pelancongan, Satoko berkata, seorang rakan Malaysianya menetap di daerah ini.

“Dia cadangkan saya datang ke Baling. Kemudian, saya cuba dapatkan maklumat mengenai Baling di internet, tetapi tidak banyak yang ada.

“Yang ada mengenai jangkitan kencing tikus. Pada mulanya saya risau, tetapi bila dah sampai, memang rasa seronok,” katanya.

Di Baling, Satoko menginap di Rumah Rehat Baling dan aktiviti hariannya diatur rakannya bertugas di Majlis Daerah Baling.

“Penduduk di sini semuanya ramah walaupun ada yang kurang tahu berbahasa Inggeris namun mereka tetap berbual dan melayan saya dengan baik sekali,” katanya.

Satoko berkata, rakyat Malaysia gemar berpakaian warna-warni tetapi di Jepun mereka suka mengenakan pakaian gelap terutama dalam pejabat.

“Bukan dilarang pakai baju berwarna terang, tetapi ia budaya kami, “ katanya.