Advertisement

Responsive Advertisement

Hakim tarik diri dengar rayuan kes liwat 2


PUTRAJAYA -  Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Tengku Maimon Tuan Mat menarik diri dari mendengar rayuan pihak pendakwaan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibebaskan dari tuduhan meliwat Saiful Bukhary Azlan, awal tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ramli Ali membenarkan permohonan secara lisan yang dikemukakan Peguam Karpal Singh, memohon agar hakim tersebut diketepikan dari mendengar kes itu di Mahkamah Rayuan di sini, hari ini.

Prosiding hari ini ditetapkan untuk hujahan pihak pembelaan, berhubung pelantikan Peguam Datuk Seri Mohamed Shafee Abdullah yang akan mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu.

Tengku Maimon dipilih sebagai salah seorang panel bersama seorang lagi hakim mahkamah rayuan, Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Ketika ditemui media, Karpal berkata, pihaknya mengemukakan permohonan berkenaan kerana Tengku Maimon merupakan hakim yang terlibat dalam kes saman anak guamnya pada 2007.

"Penglibatan Tengku Maimon dalam mendengar kes ini akan menimbulkan prejudis, dan bias kepada Anwar," katanya.