PENYANDANG juara, Kelantan mempunyai strategi tersendiri menyekat Terengganu meraih tiga mata apabila kedua-dua pasukan berentap dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.
Pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak berkata, beliau sudah merangka percaturan terbaik sepanjang tempoh rehat dua minggu bagi memastikan pasukannya membawa pulang tiga mata berharga.
“Persiapan kami berjalan lancar, dan saya gembira dengan komitmen serta prestasi semua pemain sepanjang sesi latihan. Malam esok (ini), adalah medan terbaik untuk mereka buktikan kemampuan sebenar dengan menewaskan Terengganu.
“Jika Terengganu memasang niat mahu mara ke suku akhir, Kelantan juga tidak terkecuali dan tidak mahu menunggu hingga perlawanan terakhir (menentang Pahang), Sabtu ini,” katanya.
Tegasnya, barisan pemain perlu mengekang kelincahan Mohd Ashari Samsuddin dan Jean Emmanuel Effa Owona bagi memastikan misi sukar namun tidak mustahil pasukannya tercapai dalam pertemuan ini.
Menurutnya, Dickson Nwakaeme tetap menjadi senjata utama pasukannya bagi merobek gawang Terengganu meski pun penyerang import kelahiran Nigeria itu disahkan hanya mampu beraksi untuk tempoh 45 minit dalam pertemuan malam ini.
“Keputusan sama ada dia bermain pada babak pertama atau kedua, saya akan tentukan malam ini (malam tadi). Saya percaya, Ahmad Fakri Saarani juga dahagakan jaringan setelah dia menimba pengalaman ketika Malaysia menentang China, tempoh hari,” katanya,
Pengendali dari Croatia itu juga melaungkan keyakinan mampu menyenaraikan barisan terkuat meski pun kehilangan tonggak pertahanan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim untuk dua hingga tiga minggu akibat kecederaan ligamen lutut pada Pestabola Merdeka.
“Dia hanya boleh bermain pada peringkat suku akhir tetapi saya masih ada Mohd Daudsu (Jamaludin), Mohd Farisham (Ismail), Azizi (Matt Rose) dan Obinna Nwaneri di benteng pertahanan,” katanya.
Sementara itu, jurulatih berusia 42 tahun itu menepis tanggapan pasukannya berdepan tekanan bertemu Terengganu meski pun skuad kendalian E Elavarasan itu kembali mencapai prestasi sebenar setelah kemenangan sulung ke atas Pahang, dalam perlawanan terakhir lalu.