CHUKAI: Akibat kekenyangan selepas makan nasi berlauk daging goreng di sebuah banglo tiga tingkat yang dipecah masuk, seorang pencuri tertidur di atas sofa sebelum diberkas pemilik rumah berkenaan dalam kejadian di Jalan Dato’, di sini, Selasa lalu.
Lebih mengejutkan apabila pencuri berusia 35 tahun itu dipercayai membawa makanannya sendiri kerana nasi dan daging goreng berkenaan serta pinggan digunakannya bukan milik pemilik banglo terbabit.
Kejadian jam 8.15 pagi itu disedari pemilik banglo terbabit, Kamsiah Wan Othman, 59, ketika mahu mengemas bilik tidur selepas menyediakan sarapan pagi untuk keluarganya sebelum terserempak dengan lelaki berkenaan yang lena di atas sofa di tingkat dua rumah berkenaan.
Anak Kamsiah, Faisal Zainal Nordin, 30, berkata sebelum keluar dari bilik tidur untuk berwuduk kira-kira jam 6 pagi, ibunya menyedari ada tiga beg dan satu bungkusan kain di laluan keluar bilik tidur tetapi menyangka ia milik salah seorang adik-beradiknya.
“Selepas menyediakan sarapan dan mahu masuk semula ke bilik tidur, ibu terkejut melihat seorang lelaki nyenyak tidur di atas sofa di tingkat dua rumah.
“Ibu kemudian bertanya kepada saya yang secara kebetulan baru pulang dari tempat kerja pada jam 8 pagi adakah lelaki berkenaan rakan saya.
“Terkejut dengan pertanyaan ibu, saya terus bergegas untuk melihat lelaki itu sebelum mengejutkannya dari tidur.
“Dia yang terkejut cuba melarikan diri menyebabkan kami bergelut sebelum saya berjaya menahannya,” katanya yang memberitahu adiknya, Saifullah, 21, kemudian menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.
Menurutnya, dia yang kemudian memeriksa tiga beg dan bungkusan kain yang terletak tidak jauh dari lelaki itu tidur menemui 10 utas jam tangan pelbagai jenama, satu telefon bimbit, dua bentuk cincin suasa dan satu ‘walkman’ milik keluarganya.
“Dalam bungkusan kain itu pula, saya menemui pelbagai pakaian milik keluarga. Kami juga mendapati beberapa bilik tidur yang tidak dikunci dalam keadaan berselerak.
“Manakala di belakang sofa tempat suspek tidur, kami menemui sisa nasi berlauk daging goreng dan petai dalam sebuah pinggan selain kuih raya milik keluarga kami yang diambilnya dari dapur.
“Polis yang tiba kemudian menemui sebilah pisau milik suspek dan sebatang pemutar skru. Difahamkan ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah,” katanya.
Faisal percaya pencuri terbabit terlena akibat kekenyangan selepas menjamu selera dan mengambil keputusan berehat di sofa berkenaan.
“Dia mungkin mengantuk selepas makan dan berbaring seketika di sofa sebelum terlena tanpa menyedari hari sudah siang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi semalam mengesahkan pihaknya menerima laporan kes berkenaan.