PERSATUAN Bola Sepak Jajahan Tumpat (Tumpat FA) iaitu
badan gabungan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), sah akan beraksi
pada saingan Liga FAM pada musim hadapan.
Yang Dipertua Tumpat FA, Wan Hanafi Wan Yaakob berkata pasukan itu layak bermain
pada saingan divisyen ketiga itu selepas mendapat penajaan sebanyak
RM500,000 daripada Kumpulan Perumahan Rakyat Kelantan Berhad (KPRK).
"Pada 2008 dahulu, kita pernah terima tawaran daripada Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), namun hasrat tersebut tidak kesampaian apabila
menghadapi masalah kewangan.
"Kita bertuah kerana KPRK Bhd sudi menjadi penaja utama kami sehingga
melayakkan Tumpat FA bermain dalam liga tersebut," katanya kepada
pemberita pada Majlis Memperkenalkan Pemain, Pengurusan dan Penajaan
Pasukan Tumpat FA bagi Kejohanan Piala FAM 2013, di Kota Bahru, hari
ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KPRK Bhd, Nik Salman Nik Din.
Antara pemain yang bakal beraksi bersama pasukan itu ialah dua bekas
pemain Kelantan, Che Hishamuddin Hassan dan Sarudy Aziz serta beberapa
bekas pemain Liga Perdana.
Pasukan tersebut juga bakal dibimbing jurulatih berpengalaman, Husin
Deraman yang pernah mengendalikan bekas penyerang Kelantan, Norshahrul
Idlan Talaha, Shakir Shaari dan Akmal Rizal Rakhli ketika bertugas
sebagai pengajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Wan Hanafi berkata pihaknya menyasarkan untuk melangkah ke Liga Perdana
pada 2014 atau sekurang-kurangnya menjadi antara empat pasukan teratas
pada saingan Liga FAM tersebut.
"Saya yakin dengan gandingan pemain yang berpengalaman dan pemain
baharu serta latihan yang diberikan ketua jurulatih, Tumpat FA dapat
bersaing dengan kelab lain dalam Liga FAM," katanya.
Sementara itu, Nik Salman berkata pihaknya yakin untuk menaja Tumpat FC
selepas melihat kehandalan pasukan itu yang hanya kalah tiga daripada
60 perlawanan persahabatan dengan beberapa kelab bola sepak di seluruh
negara sepanjang beberapa tahun lalu.
"Kita juga berada di landasan yang betul kerana bergabung dengan Kafa
di mana persatuan tersebut boleh memberi tunjuk ajar kepada Tumpat FA.
Itu yang buat saya yakin untuk menaja pasukan ini," katanya. - Bernama