Advertisement

Responsive Advertisement

Nwakaeme tekad singkir Kitchee

Nwakaeme
Nwakaeme (kanan) mahu beraksi lebih lama ketika bertemu Kitchee SC pada pusingan kedua saingan Piala AFC di Kota Bharu, malam esok.

PENYERANG import Kelantan, Dickson Nwakaeme tekad membantu pasukan menyingkirkan Kitchee SC pada aksi pusingan kedua saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Menurut Nwakaeme, meski pun Kitchee SC bertandang ke Kota Bharu dengan reputasi selaku juara Piala FA dan Liga Hong Kong, namun beliau tidak gentar bahkan yakin pasukannya mempunyai peluang cerah melangkah ke saingan suku akhir.

“Kelantan kini berada pada landasan tepat untuk mengulangi pencapaian musim lalu. Ini perlawanan kalah mati, tiada lagi aksi timbal balas. Jika kami fokus dan buat sedikit kerja rumah, kami boleh mengalahkan mereka.

“Kelantan mempunyai kelebihan kerana bermain di tempat sendiri sedangkan mereka terpaksa mengharungi penerbangan jauh ke sini. Malah kami mendapat sokongan padu penyokong tempatan yang terbukti menjadi kunci kemenangan pasukan selama ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Keyakinan tinggi penyerang berasal dari Nigeria itu terbukti apabila beliau turut menyuarakan desakan kepada pengendali pasukan, Bojan Hodak untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan otot paha.

“Saya hanya diturunkan sebagai pemain gantian termasuk beraksi selama 30 minit pada pertemuan dengan Negeri Sembilan tempoh hari.

“Itu tak cukup, saya mahu bermain lebih lama, buat apa saya berada di bangku simpanan kerana matlamat saya ialah membantu Kelantan meraih kemenangan,” katanya.

Sumber SinarHarian