ZAMBOANGA - FILIPINA. Presiden Filipina Benigno Aquino, memberi amaran keras kepada Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF)di selatan Zamboanga.
Beliau berikrar mengambil tindakan tegas jika MNLF menyebabkan kemusnahan besar di bandar Zamboanga atau mencederakan ratusan tebusan yang ditawan sejak lima hari lalu.
Aquino mengeluarkan kenyataan itu ketika mengadakan lawatan di bandar bergolak itu, di mana operasi ketenteraan masih lagi diteruskan dalam usaha menyekat kemaraan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro selepas tiga daerah ditawan kumpulan terbabit.
" Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro MNLF diberi amaran supaya menghentikan serangan serta-merta," katanya kepada AFP.
Menurutnya, unit perisikan telah diarahkan mengumpul maklumat terperinci bagi mengelakkan serangan berterusan.
“Kami tidak mahu melakukan serangan terhadap kumpulan MNLF sama ada serangan sengaja atau keterbukaan peluang untuk menyerang. Tetapi, tentera bersedia berhadapan dengan segala ancaman ini,” katanya.
Sementara itu, jurucakap tentera Ramon Zagala berkata, rundingan masih berjalan. "Tetapi mereka enggan menyerah diri dan masih melakukan serangan.
“Kami khuatir, serangan itu merebak ke wilayah lain. Ketika ini, kira-kira 200 penduduk masih dijadikan perisai sepanjang pertempuran ini,” katanya.
Menurutnya, penduduk di lima perkampungan di bandar Zamboanga diarahkan berpindah segera bagi mengelakkan mereka dijadikan tebusan MNLF.