PENAMPILAN sulung Samuel Eto’o di Liga Perdana Inggeris gagal membantu Chelsea apabila tewas 0-1 kepada Everton di Goodison Park awal pagi semalam.
Kemenangan pertama The Toffees daripada empat perlawanan hadir menerusi jaringan bekas penyerang Glansgow Rangers, Steven Naismith, 27, pada masa kecederaan di separuh masa pertama.
Pengurus Everton, Roberto Martinez ternyata gembira dengan kemenangan tersebut setelah mengambil alih tugas daripada David Moyes.
“Sukar untuk memberi gambaran sepenuhnya kepada perlawanan ini kerana di atas kertas Everton bukanlah pilihan tetapi karakter pemain membuktikan sebaliknya.
“Penyokong tahu bahawa sukar bertemu Chelsea tetapi pasukan bermain secara satu pasukan, mengawal bola dengan baik dan bertahan dengan luar biasa,” kata pengendali dari Sepanyol.
Sementara itu, Jose Mourinho yang kehilangan sentuhan ajaibnya sukar menerima kekalahan pertama The Blues.
“Chelsea tidak sepatutnya kalah dalam perlawanan ini apabila mencipta 21 percubaan dan menguasai permainan,” katanya.
Tiga mata penting yang diraih Everton memberikan kemenangan pertama kepada Martinez pada musim pertamanya di Goodison Park.
The Toffees kini berada di tangga kesembilan dengan enam mata, hasil satu kemenangan dan tiga seri.