Advertisement

Responsive Advertisement

Cubaan isteri tipu suami konon diculik terbongkar

Georgetown: Tindakan seorang isteri yang sanggup menipu suaminya kononnya dia diculik seorang lelaki sebelum meminta wang tebusan berjumlah RM10,000 bagi mengelak dirinya dibunuh, terbongkar apabila dia ditahan polis dalam satu pemeriksaan di Sitiawan, Perak, pada Jumaat lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 pagi apabila wanita berusia 26 tahun itu dikatakan menghubungi suaminya yang berusia 25 tahun di rumah mereka di Taman Muhibbah, Batu Maung, di sini, melalui telefon bimbitnya sebelum berpakat dengan seorang lelaki yang menyamar sebagai penjenayah.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan, wanita itu kemudian menyuruh lelaki berkenaan menggunakan telefon bimbit miliknya dan menghubungi suaminya untuk memeras ugut dengan meminta wang tebusan.
Menurutnya, siasatan mendapati suami wanita itu dipaksa memasukkan wang yang diminta, tetapi diberitahu tidak mempunyai wang seperti yang diminta sebelum diberikan tempoh dua hari untuk menyediakannya.

Katanya, hasil siasatan mendapati dia pernah diugut oleh lelaki yang sama dan dipaksa memasukkan sejumlah wang ke dalam sebuah akaun milik seorang wanita.

“Berikutan itu, lelaki terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Batu Maung untuk tindakan selanjutnya dan polis menjalankan siasatan Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya.
Jurucakap polis berkata, hasil siasatan yang dilakukan pada jam 7.45 malam hari yang sama dan bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Samudera, Sitiawan, Perak.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, suspek yang dikatakan diculik penjenayah itu ditemui dalam keadaan baik dan hasil pemeriksaan lanjut berjaya menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 27 dan 55 tahun kerana disyaki terbabit dalam kejadian itu.