Advertisement

Responsive Advertisement

JDT turunkan barisan terkuat Lawan Kelantan


JOHOR Darul Takzim (JDT) bakal menurunkan kesebelasan terbaik dalam usaha meraih kemenangan bagi menewaskan The Red Warriors di laman sendiri untuk aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2013, malam ini, lapor MOHD FIRDAUS YON.

Dengan kehadiran semula Safee Sali, Mohd Irfan Abdul Ghani dan Leonel Nunez yang pulih dari kecederaan, Harimau Selatan tidak mahu mensia-siakan peluang merobek gawang Kelantan di hadapan penyokong sendiri.

Ketua Jurulatih Johor DT, Azmi Mohamed berkata, keadaan anak buahnya kini berada di tahap yang baik dari segi mental dan fizikal untuk diturunkan.

Menurutnya, kegagalan menewaskan Kelantan dalam aksi perlawanan akhir Piala FA 2013 akan dijadikan ikhtiar sekali gus bakal diterjemahkan di atas padang.

“Segalanya okey. Pemain dalam keadaan baik dan mereka perlu lebih fokus.

“Safee, Nunez dan Irfan sudah kembali pulih dan berkemungkinan besar akan diturunkan esok (hari ini).

“Jadi kita akan menurunkan kesebelasan pemain yang baik untuk perlawanan ini,” katanya di Padang Seri Gelam, semalam.

Azmi berkata, beliau akan menerapkan strategi yang menampilkan tiga penyerang bagi menggempur pertahanan dan gawang The Red Warriors.

Beliau turut mengingatkan semua pemain Johor DT agar lebih berdisiplin dan fokus terhadap tanggungjawab serta peranan masing-masing berdasarkan perkembangan semasa Kelantan.

“Kelantan merupakan satu pasukan yang bermotivasi tinggi. Mereka melalui saat yang sukar, tetapi mampu membuat ‘comeback’ untuk layak ke suku akhir," katanya.