‘TARIKH luput’ Datuk K Rajagobal sebagai pengendali Harimau Malaya dilihat semakin hampir menjelang 31 Disember depan.
Bagaimanapun, masa depan jurulatih berusia 57 tahun itu kembali menjadi tanda tanya sama ada kontrak beliau dilanjutkan ataupun tidak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seandainya perlawanan terakhir menentang Yaman menjadi penentu nasib skuad negara layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015.
Untuk rekod, skuad kendalian Rajagobal yang kini menghuni kedudukan ketiga Kumpulan D dengan meraih tiga mata bakal meneruskan saingan mengharungi baki tiga perlawanan, dua aksi timbal balik menentang Bahrain disusuli Qatar pada November, manakala baki satu lagi perlawanan menentang Yaman, pada Mac tahun depan.
Memandangkan FAM sebelum ini menetapkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia sahaja dilihat satu-satunya ‘talian hayat’ bagi Rajagobal terus mengendalikan Harimau Malaya, adakah ini bermakna badan induk bola sepak negara itu akan terus memberi peluang kepada Rajagobal sehingga tamat Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan perkara berkenaan akan ditentukan apabila tiba masanya.
"Kita sedia maklum dari awal malah Tengku Abdullah Ahmad Syah sendiri pernah menyatakan bahawa KPI untuk Rajagobal adalah kelayakan Piala Asia 2015. Jadi KPI itu kekal, dan sekiranya perlawanan terakhir (Yaman) menjadi penentu nasib skuad negara, maka FAM akan tampil dengan satu keputusan sama ada melanjutkan kontraknya atau keputusan lain.
“Kalau itu terjadi juga kita mungkin akan lanjutkan dan sebarang kemungkinan ada. Sebab itu saya katakan sebarang keputusan adalah hak FAM, dan kita akan buat keputusan apabila masanya sesuai. Jadi saya rasa tidak perlu nak mempertikaikannya,” katanya
Diminta mengulas laporan mengatakan FAM telah menerima 30 permohonan daripada jurulatih tempatan dan luar negara yang berminat mengambil alih skuad bola sepak negara itu, Hamidin berkata, pihaknya tidak pernah membuka jawatan tersebut.
"Mungkin dalam kes ini ramai yang sudah mengetahui kontrak Rajagobal akan tamat pada 31 Disember menyebabkan ramai jurulatih dalam dan luar negara menghantar permohonan. Meskipun kita tidak pernah buka, tapi kita terima permohonan secara terbuka, kami akan menilai setiap permohonan tetapi belum membuat sebarang keputusan.
"Sama ada ganti atau kekalkan jurulatih belum ada sebarang keputusan kerana kita ada banyak peringkat yang perlu dilakukan," ujarnya.