PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa berkata, pemain The Red Warrior (TRW) yang mendapat tawaran tinggi, sama sekali tidak akan dihalang daripada meninggalkan pasukan itu.
“Kita tiada halangan... jika ‘TRW’ terpaksa membentuk pasukan baru sekalipun apakan daya kerana peraturan bola sepak di Malaysia memang tidak melindungi kepentingan kelab dan kelab tidak berupaya," katanya yang dipetik dari laman sosial Facebooknya.
Beliau berkata demikian mengulas hasrat beberapa pemain untuk meninggalkan TRW.
"Bagi yang sudah biasa mengurus bola di Malaysia mereka akan memahaminya,” katanya lagi. Sehubungan itu, untuk misi tahun hadapan pasukan TRW tidak akan meletakkan sebarang sasaran kerana pasukan itu mungkin akan kehilangan ramai ‘ayam tambatannya’. “Kita masih memikirkan apa yang boleh dan mampu kita buat... JDT sekali lagi bakal memperolehi pemain yang mereka mahu dari Kelantan dan Selangor dan lain-lain. “Mereka berhak kerana punya dana yang cukup besar... kita mula merasai keperitan untuk bertahan,” katanya lagi.