Advertisement

Responsive Advertisement

Pablo Aimar Sarung jersi no 10 JDT


BINTANG baru JDT, Pablo Aimar kembali ke Johor Bahru dan kini menepati janjinya untuk beraksi bersama JDT bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.             

Menyarung jersi nombor 10 yang sebelum ini digunakan Andrezinho, bekas pemain Benfica itu mengakui mempunyai kenangan manis ketika bersama Argentina apabila memenangi Piala Dunia B-20 FIFA 1997 di mana Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan.

Aimar  berkata, kehadirannya ke Johor mengimbau kembali saat manis ketika beraksi di Stadium Larkin kira-kira 16 tahun lalu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden PBNJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) kerana memberi kepercayaan untuk saya membantu pasukan bagi musim depan,” katanya, semalam.

Aimar berkata, keputusan untuk bersama JDT adalah pilihan terbaik buatnya selepas lima tahun bersama Benfica selain beraksi dengan pasukan Eropah lain seperti Zaragoza, Valencia dan River Plate.

Ditanya mengapa memilih untuk beraksi di Johor, Aimar berkata Harimau Selatan merupakan pasukan berkualiti dan meiliki pemain yang bagus.

“Saya akan memberikan yang terbaik untuk musim depan malah membantu memenangi kejuaraan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, Aimar bukanlah satu nama yang asing dalam sukan bola sepak di peringkat antarabangsa.

“Kehadiran Aimar bersama JDT akan membantu meningkatkan pembangunan bola sepak negeri sekali gus menjadi satu platform buat pembangunan bola sepak negeri untuk melangkah ke tahap lebih baik pada musim depan,” katanya.