Advertisement

Responsive Advertisement

Paid masih tunggu laporan pasangan bersekedudukan


SABAK BERNAM – Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Sabak Bernam masih menunggu laporan daripada nazir masjid dan penduduk Kampung Tebuk Berihun bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang penduduk kampung itu yang didapati tinggal bersekedudukan dengan seorang wanita warga asing.

Ketua Penguatkuasanya, Muhammad Suhaili Sajiman berkata, pihaknya sebelum ini pernah menjalankan siasatan atas pasangan terbabit, namun pasukannya itu diugut dan diacukan parang oleh lelaki berkenaan.

Menurutnya, atas nasihat polis yang bimbang keselamatan terancam, pihaknya terpaksa mengambil keputusan untuk beredar dan menunggu laporan daripada nazir serta penduduk kampung.

“Saya sendiri sudah berbincang dengan bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dan kami menunggu laporan daripada nazir masjid dan penduduk untuk tindakan lanjut,” katanya.

Muhammad Suhaili berkata, melalui maklumat nazir masjid, pasangan itu tidak tinggal menetap di situ sebaliknya tinggal sementara di rumah berkenaan dan ia menyukarkan tindakan penguatkuasaan dijalankan.

“Bagaimanapun, kita memandang serius aduan daripada penduduk dan jika ada aduan, kita sudah bersiap sedia untuk menjalankan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Sinar Harian 9 September lalu melaporkan, penduduk Kampung Berihun Paid Sabak Bernam mengambil tindakan tegas terhadap seorang penduduk kampung itu yang didapati tinggal bersekedudukan dengan seorang wanita warga asing.

Penduduk, Irahim Abdul Samad, 54, berkata, lelaki anggaran lingkungan 40-an itu didapati tinggal serumah dengan wanita itu lebih lima bulan lalu tetapi tiada tindakan penguatkuasaan dijalankan atas pasangan bukan muhrim tersebut.

Menurutnya, penguatkuasa Paid Sabak Bernam juga pernah datang menyiasat perkara itu, namun tiada tindakan diambil selepas lelaki terbabit menunjukkan parang dan berbogel kononnya mengalami masalah mental.