IA diibaratkan misi hidup mati bagi keempat-empat pasukan yang akan meneruskan perjuangan mereka memburu dua slot ke suku akhir kempen Piala Malaysia edisi ke-87, Selasa ini.
Keputusan perlawanan kelima peringkat kumpulan C pertengahan minggu ini bakal memberi petunjuk sama ada Kelantan, Terengganu, Pahang atau pun Negeri Sembilan yang berhak berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik, 27 September ini.
Gelaran ‘kumpulan maut’ memang cukup sesuai ketika empat pasukan tersebut dipaksa berhempas pulas memburu mata semaksimum mungkin ketika saingan kumpulan hanya berbaki dua perlawanan.
TEKANAN HEBAT
Juara bertahan, Kelantan dilihat berdepan tekanan cukup hebat apabila bertandang ke Kuala Terengganu ketika lawan menanti, Terengganu kini kembali ke prestasi sebenar setelah mencatatkan kemenangan sulung dalam kempen ini.
Apa cara sekali pun, Kelantan perlu mencatatkan keputusan positif dan jika tewas, peluang mereka dilihat sempit untuk mempertahankan kejuaraan, memaksa Bojan Hodak tampil melancarkan perang saraf dengan memberi keyakinan pasukannya mampu ke suku akhir.
LAKAR KEJUTAN
Berdasarkan situasi semasa, Negeri Sembilan mungkin dilihat sedikit selesa untuk melangkah ke pusingan seterusnya namun skuad kendalian Ridzuan Abu Shah tidak boleh mendabik dada kerana perlu bertemu Pahang dan Terengganu dalam baki perlawanan terakhir.
Yang pasti, skuad Jang bersedia melakar kejutan namun pertemuan menentang Pahang di Kuantan disusuli Terengganu di halaman sendiri wajar dimanfaatkan sepenuhnya jika tidak mahu berputih mata dalam kempen kali ini.
HARAPAN TINGGI
Tanggungjawab berat digalas anak buah Dollah Salleh dalam merintis laluan ke suku akhir. Pahang berpeluang melakukannya jika mampu menewaskan Negeri Sembilan di Kuantan, Selasa ini namun mereka perlu berdepan Kelantan empat hari kemudian. Begitu pun, rekod Pahang tidak memberangsangkan setiap kali beraksi di Kota Bharu, dan mereka harus memikirkan sesuatu bagaimana mahu mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata di kubu kebal The Red Warriors itu.
HIDUP PELUANG
Dengan empat mata diraih setakat ini, segala-galanya tidak mustahil bagi skuad kendalian E Elavarasan untuk mencapai sasaran ke suku akhir, namun mereka wajib menewaskan Kelantan terlebih dahulu sebelum mencongak peluang tersebut.
Kemenangan ke atas Pahang pada 31 Ogos lalu menghidupkan kembali peluang Terengganu ketika bekas juara musim 2001 itu berada diambang penyingkiran setelah tewas dalam dua perlawanan awal.