Advertisement

Responsive Advertisement

Serangan di Yaman, puluhan askar maut


SANAA - YAMAN. Serangan terbaru yang didakwa didalangi kumpulan Al-Qaeda meragut lebih 50 nyawa anggota keselamatan di selatan Yaman, menurut media tempatan, semalam.

Puluhan maut dalam insiden pengeboman kereta berkembar yang menyasarkan kem tentera di al-Nashama manakala 10 lagi ditembak mati kumpulan lelaki bersenjata di bandar Mayfaa.

Pihak berkuasa percaya Pergerakan Al-Qaeda di Semenanjung Arab (Aqap) sebagai dalang bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut.

Dalam satu kenyataan, pembantu kepada perdana menteri, Ali al-Sarary berkata, insiden itu bertujuan untuk menggagalkan usaha perdamaian selepas negara itu kebangkitan rakyat pada 2011.

"Matlamat mereka adalah untuk menjejaskan penyelesaian politik, sekali gus menghalang dialog kebangsaan yang mahu menyelesaikan beberapa isu berbangkit terutamanya di selatan," katanya.

Difahamkan, Washington dan negara Teluk berusaha untuk mengekalkan kestabilan di Yaman kerana lokasi negara itu yang terletak bersebelahan laluan perkapalan utama bagi minyak mentah di rantau tersebut.

Selain itu, laporan dipetik dari Al-Arabiya negara Barat sering melabelkan Aqap sebagai rangkaian Al-Qaeda paling berbahaya kerana dituduh  cuba untuk meletupkan pesawat penerbangan dan kargo milik Amerika Syarikat (AS).