Advertisement

Responsive Advertisement

38 tukang cuci haram ditahan

  • 38 tukang cuci haram ditahanSeramai 38 tukang cuci ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Seramai 38 tukang cuci warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur kerana  bekerja secara haram dengan sebuah syarikat  milik rakyat tempatan, di sini, kelmarin.

Penolong Pengarah Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur James Musa Singa berkata, kesemua 38 tukang cuci berusia dalam lingkungan 18 hingga 51 tahun itu ditahan di sebuah bangunan perniagaan di Jalan Maarof, Bangsar, kira-kira jam 4 petang.

“Dari jumlah itu, empat daripadanya ialah tukang cuci lelaki yang juga warga Indonesia dan menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya.

Menurutnya, syarikat membekalkan pekerja warga asing itu dipercayai mementingkan keuntungan dengan menggunakan khidmat warga asing yang hanya mempunyai pas lawatan sosial.

“Kita percaya pekerja warga asing tersebut akan diganti dengan orang lain setiap bulan. Syarikat itu mengambil kesempatan dengan tidak membayar levi sektor perkhidmatan,” katanya.

James menegaskan,  majikan yang ingin mendapatkan khidmat pekerja warga asing perlu memohon kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan masuk ke negara ini.

“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang masih berdegil dan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Kesemua yang ditahan itu dibawa ke lokap tahanan, Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Duta untuk siasatan lanjut.

Kesemua yang ditahan  disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas.