Advertisement

Responsive Advertisement

Jangan buat silap: Poknik

  • Jangan buat silap: PoknikNik Mohd Shahrul (kanan) berharap rakan di benteng pertahanan tidak melakukan kesilapan mudah pada pertemuan timbal balik Kelantan menentang ATM di Kota Bharu, Jumaat ini.

PEMAIN The Red Warriors, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim mengingatkan rakan sepasukannya di benteng pertahanan tidak melakukan kesalahan mudah pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jumaat ini.

Nik Mohd Shahrul Azim atau dikenali Poknik berkata, sebarang kesilapan bakal mengundang padah buat pasukannya kerana skuad kendalian B Satiananthan itu sebenarnya mempunyai kelebihan menjaringkan gol menerusi situasi bola mati.

“Mereka telah buktikan pada aksi suku akhir kedua lalu ketika menewaskan Lions XII 4-1. Marlon Alex James umpamanya mampu meledakkan gol menerusi set piece yang boleh mengelirukan penjaga gol lawan.

“Jadi kami tidak boleh melakukan kekasaran terhadap pemain lawan terutama di luar kotak penalti. Sebarang kesilapan bakal menyekat peluang kami yang kini hanya selangkah untuk ke perlawanan akhir,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tonggak pertahanan berusia 23 tahun itu yang mendedahkan mendapat tawaran beraksi dengan tiga pasukan lain pada musim depan berkata, rakan sepasukannya juga perlu menyekat hantaran lintang berbahaya yang menjadi senjata utama The Gladiators menjaringkan gol sepanjang musim ini.

“Memang Alex James dan Hai-O (Hairuddin Omar) kurang menjadi pada perlawanan tempohari. Tetapi dua pemain ini saya anggap tetap mempunyai sentuhan berbisa kerana mampu menjaringkan gol menerusi tandukan.

“Kami perlu sekat hantaran lintang yang dilakukan pemain sayap ATM seperti Christie Jayaseelan dan Mohd Fitrie Omar. Saya percaya jurulatih mereka juga mungkin akan menurunkan Venice Elphi Danny Kaya lebih awal pada pertemuan ini,” katanya.

Menurut pemain pertahanan serba boleh itu, rakan sepasukannya juga diingatkan tidak berasa terlalu yakin meski pun pasukannya menewaskan ATM 2-1 pada aksi separuh akhir pertama, tempoh hari.

“Kalau semua pemain mengekalkan aksi seperti di Selayang, Insya-ALLAH saya rasa pentas perlawanan akhir akan menjadi milik Kelantan. Tetapi jika kita anggap pertemuan ulangan ini sesuatu yang mudah kerana bermain di tempat sendiri, itu satu tanggapan yang silap,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Mohd Shahrul Azim akui sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut dan menyerahkan kepada jurulatih, Bojan Hodak sama ada disenaraikan dalam kesebelasan utama pada aksi timbal balik, Jumaat ini.