Advertisement

Responsive Advertisement

Alex optimis singkir PKNS


KAPTEN pasukan Pahang, Azamuddin Mohd Akil percaya peluang untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia cerah terutamanya mereka kini di tahap terbaik untuk terus melakar kemenangan ketika berkunjung ke Stadium Shah Alam pada aksi timbal balik Sabtu ini.

Kejayaan menumpaskan PKNS 3-2 pada aksi pertama 27 September lalu juga menyuntik semangat skuad Tok Gajah untuk terus mempamerkan permainan berkualiti.

“Semua pemain lebih bersemangat untuk berdepan PKNS. Walaupun PKNS mempunyai kekuatan seimbang dengan Tok Gajah dan peluang kami 50-50, Tapi, tiada yang mustahil untuk meletakkan kami di separuh akhir.

"Namun harus diingat kesilapan mudah yang dibuat akan mengundang padah buat Pahang. Jadi saya harap kesemua pemain berhati-hati, jangan gopoh dan jangan terlalu yakin," katanya semalam.

Azamuddin yang mesra dipanggil Alex juga berazam meneruskan sentuhan berbisanya bagi membantu Pahang melakar kegemilangan musim ini.

“Saya harap semua pemain dapat bermain dengan lebih baik dan bijak memanfaatkan peluang yang ada untuk mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.

“Beraksi di tempat lawan tidak harus menjadi masalah kerana kami berada pada prestasi terbaik ketika ini selepas mencatat kemenangan 3-2 kepada PKNS.

"Saya juga percaya jurulatih (Dollah Salleh) mempunyai strategi terbaik untuk menyekat jentera serangan PKNS nanti,” katanya.