Advertisement

Responsive Advertisement

Buru geng Bumper Cha Cha


SHAH ALAM - Polis kini sedang giat memburu tujuh anggota kumpulan 'Bumper Cha Cha' yang aktif menyamun di sekitar Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, mereka dikesan aktif melakukan 30 kes samun, sejak awal tahun ini sehingga 4 Oktober lalu.

Beliau berkata, cara jenayah kumpulan samun ini mensasarkan kereta mewah, sebelum melanggar bahagian belakang kereta terbabit.

"Mereka akan sengaja melanggar mana-mana kereta yang menjadi sasaran, bagi mengumpan mangsa keluar daripada kenderaan masing-masing.

"Setelah mangsa keluar untuk melihat kereta, suspek akan acu parang dan samun mereka," katanya.

Mohd Shukri berkata, dalam sesetengah kes, suspek yang kerap menggunakan kereta Proton Waja turut melarikan kenderaan mangsa yang disamun.

Beliau berkata, tujuh suspek berkenaan dikenali sebagai Ahmad Harvinder Singh Abdullah atau Cha Cha,30; L Durasingam (Durai),20; S B Tinagaran (Tena),22; Sam Chia Ming (Sasi),20; M Vekaram (Vekram),26; K Prabu (Prabu),25, dan M Raman (Raman), 36.

Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah heroin bernilai RM45,000 dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah terkenal di Bandar Sunway, di sini, petang kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 3.40 petang itu, suspek berusia 26 tahun tersebut dilihat berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan.

Mohd Shukri berkata, pihaknya lalu menahan suspek dan membuat pemeriksaan ke atas beg yang disandangnya.

"Kita temui lima bungkusan plastik lutsinar berisi bahan ketulan disyaki dadah heroin seberat 2,239 gram (g).

"Siasatan lanjut mendapati suspek merupakan pengedar dadah di sekitar Lembah Klang dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan bahan terlarang itu," katanya pada sidang akhbar, semalam.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah syabu.

Katanya, dadah dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM45,000 dan suspek direman seminggu sehingga 14 Oktober ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.