Advertisement

Responsive Advertisement

Gadis cedera diketuk penyamun



ROMPIN - Seorang gadis cedera di bahagian kepala selepas diketuk dengan objek tumpul kerana cuba menjerit meminta tolong selepas rumah neneknya di simpang tiga Tebing Tinggi, di sini dipecah masuk penyamun pada jam 4.15 pagi, semalam.


Menurut Norrizan Rajuddin, 18, dia yang tidur bersama neneknya terkejut apabila mendapati bilik mereka dimasuki dua lelaki memakai topeng, berseluar pendek dan berkaki ayam serta memegang parang.

Bukan itu sahaja malah menurut Norrizan, neneknya, Rodiah Sutan, 60, turut dipukul dengan tangan di bahagian tengkuk menyebabkan neneknya berasa pening.

“Penyamun itu minta kami beri 'kerjasama' jika tidak mahu diapa-apakan,” katanya.

Rodiah pula berkata, penyamun tersebut bertindak menekup mulut, mengikat tangan serta meminta wang daripada mereka.

“Apabila saya beritahu yang saya tidak ada banyak wang, mereka terus minta barang kemas.

“Mereka ambil dua bentuk cincin, tiga utas gelang tangan dan dua utas rantai yang kesemuanya bernilai RM17,000,” katanya.

Sementara itu, anak Rodiah, Normala Buhori, 34, berkata, dua penyamun terbabit turut memotong kain langsir di biliknya dan digunakan untuk mengikat tangan dia dan suaminya.

“Hampir 20 minit mereka selongkar keenam-enam bilik yang terdapat dalam rumah ini. Tiga telefon bimbit dan sebuah komputer riba turut dilarikan,” katanya.

Ketua Polis daerah, Superintendan Azid Ismail berkata, tiga suspek dipercayai lelaki warga Indonesia bersenjatakan parang masuk ke rumah mangsa dengan memotong pagar rumah dan seterusnya memotong besi tingkap nako di bahagian belakang rumah.

“Jumlah kerugian masih dalam siasatan dan polis giat mencari ketiga-tiga suspek,” katanya.