Advertisement

Responsive Advertisement

Tidak serik ditangkap mencuri 14 rekod jenayah



KUANTAN - Seorang lelaki yang memiliki 14 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan mencuri tidak pernah serik melakukan jenayah itu apabila tertangkap selepas mencuri dua botol krim mandian dan dua botol produk makanan jenama Nutella dalam sebuah pasar raya, Batu 3 Jalan Gambang di sini, 1 Oktober lalu.

Tertuduh, Hairol Nizam Mat Rasid, 36, dari Felda Chini 3, Pekan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam dan  mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Bagi kesalahan curinya yang ke-15 itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh dia disabitkan semalam serta dua sebatan.

Dalam rayuannya sebelum itu, tertuduh yang bekerja sebagai buruh ladang dengan pendapatan RM900 sebulan mengakui dia terpaksa mencuri barangan tersebut kerana terdesak.

Alasan tertuduh itu menimbulkan persoalan kepada mahkamah memandangkan barangan yang dicuri itu bukan keperluan asas.

Tertuduh mengakui dia mencuri barangan bernilai RM81.78 tersebut untuk dijual bagi mendapatkan wang.

Dalam rayuannya juga, tertuduh memohon supaya dikenakan hukuman paling ringan memandangkan dia kini menyara ibu serta dua adik yang masih bersekolah.

“Saya juga sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” rayunya lagi.

Bagaimanapun rayuan dan pengakuan insaf tertuduh itu dipersoalkan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar memaklumkan kepada mahkamah bahawa lelaki itu memiliki 14 rekod jenayah lampau membabitkan kes- kes curi termasuk di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu tertuduh juga pernah dikenakan hukuman dan antara hukuman paling berat diterimanya ialah penjara empat tahun.

Kesalahan terakhir dilakukan pada 2008 dan mengulanginya sekali lagi 1 Oktober lalu, namun nasibnya tidak baik apabila perbuatan itu disedari pekerja pasar raya terbabit sebelum ditahan dan diserahkan kepada polis.

Hukuman ke atas tertuduh dibuat Pendaftar Kanan Mahkamah, Mohd Nor Firdaus.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam  4.15 petang sebelum ditangkap dan diserahkan kepada polis kira-kira 25 minit kemudian.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda manakala bagi kesalahan kedua dia boleh didenda dan dikenakan sebatan.