Advertisement

Responsive Advertisement

Penoreh getah didakwa rompak kerani


KOTA BHARU - Seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan merompak secara berkumpulan ke atas kerani sebuah syarikat pembalakan, Februari lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan terhadap Ahmad Faizan Hassan, 25, dari Dabong, Kuala Krai.

Ahmad Faizan dituduh bersama seorang lagi yang masih bebas dan dua telah meninggal dunia, merompak Muhammad Haniff Zabidi, 20, di hadapan kedai cuci kereta tepi jalan utama Kuala Krai-Gua Musang, jam 11 pagi, 3 Februari.

Dalam rompakan itu, tertuduh melarikan wang RM200, telefon bimbit, kad ATM dan pasport mangsa. Wang RM50,000 milik syarikat tempat mangsa bekerja juga lesap.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Namun, susulan daripada penafian itu, Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Rashid Mustafa menetapkan sebutan semula pada 7 Oktober depan, sementara tertuduh pula tidak dibenarkan diikat jamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang penjenayah daripada ‘Geng Aimi’ mati ditembak polis berhampiran kawasan air terjun Gunung Stong, Kuala Krai, dua hari selepas kejadian rompakan itu.

Pemeriksaan lanjut turut menjumpai wang tunai RM6,150 dipercayai baki hasil rompakan.

Sebelum itu, pada 4 Februari, polis turut menembak mati dua penjenayah daripada geng sama di Kampung Sungai Sam. Dua lagi rakan mereka ketika itu berjaya melarikan diri dalam kejadian berbalas tembak tersebut.

Geng tersebut aktif melakukan rompakan bersenjata dalam tempoh setahun sebelum berjaya ditumpaskan.