Advertisement

Responsive Advertisement

Jumpa bom lama ketika menebas


KUALA PILAH – Seorang penjual papan lama tidak menyangka sebiji bola besi yang ditemui di bawah sebuah rumah tinggal di Kampung Tengah, Seri Menanti jam 7 petang, kelmarin adalah sebutir bom lama.

Yuranazali Mohd Yusof, 50, berkata, pada mulanya, dia menyangka bola besi itu adalah bola lontar peluru.

Menurutnya, ketika itu, dia sedang menebas semak dan membersihkan kawasan rumah yang lama kosong.

“Saya datang ke rumah ini untuk mengambil papan lama yang dibeli daripada tuan rumah. Memandangkan kawasannya dipenuhi semak, saya bersihkan terlebih dahulu bagi memudahkan saya membawa papan keluar.

“Ketika ingin membersihkan bawah rumah, saya ternampak satu objek berwarna hijau sebesar bola lontar peluru. Selepas itu, saya letakkan bola itu di bawah sebatang pokok berhampiran rumah,” katanya.

Bimbang dan pelik dengan kewujudan bola besi itu, Yuranazali bertindak menghubungi pihak polis keesokannya harinya.

"Sepasukan anggota polis dari Balai Polis Tanjung Ipoh datang untuk membuat pemeriksaan kira-kira jam 9.10 pagi sebelum mengesahkan ianya sebutir bom lama," katanya yang bersyukur bom tersebut tidak meletup ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim ketika mengesahkan penemuan bom berkenaan.

“Bom itu berkemungkinan peninggalan tentera British dan tidak aktif. Ini berdasarkan bentuknya amat berbeza daripada bom peninggalan tentera Jepun yang kita ada simpan rekodnya," katanya.

Dalam pada itu, Azmi turut menasihati orang ramai agar segera menghubungi pihak polis jika terjumpa objek yang mencurigakan.

“Saya ucapkan tahniah dan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh Yuranazali dan tindakannya itu wajar dicontohi semua pihak,” katanya.

Bom itu dimusnahkan Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Seremban pada jam 4.20 petang, semalam di kawasan ladang jambu batu yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat penemuan.