Advertisement

Responsive Advertisement

Lagi keganasan etnik di Myanmar


YANGON - MYANMAR. Keganasan etnik sekali lagi tercetus di barat Myanmar selepas ratusan pelampau Buddha bertindak menyerang dan membakar lebih 70 rumah di kampung Thabyachaing, 20 kilometer di utara bandar Thandwe, menurut pihak berkuasa, semalam.

Pegawai polis, Kyaw Naing berkata, seorang warga emas berumur 94 tahun dilaporkan maut akibat ditikam ketika serangan tersebut.

Ahad lalu, sekumpulan pelampau Buddha didakwa membakar rumah penduduk dan mengepung masjid di bandar Thandwe hingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan tegas untuk menyuraikan mereka.

Susulan daripada keganasan yang semakin meningkat di negara itu, kerajaan Myanmar dijangka menandatangani perjanjian gencatan senjata bersama kumpulan etnik bersenjata dalam masa terdekat.

Menteri Luar Myanmar Wunna Maung Lwin menyifatkan langkah tersebut sebagai satu permulaan baru yang lebih komprehensif melibatkan usaha kerajaan untuk mengadakan dialog politik dengan puak pemisah.

"Kami tidak akan lagi menoleh ke belakang selepas negara ini sudah berada di landasan yang betul menuju demokrasi," jelas beliau.      

Selain itu, menurut laporan dipetik dari AP, beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan membiarkan keganasan etnik berlarutan di negara terbabit selepas insiden itu meragut 237 nyawa manakala lebih 150,000 kehilangan tempat tinggal sejak Jun tahun lalu.