Advertisement

Responsive Advertisement

Mengaku cuba belasah ibu


KUALA TERENGGANU - Hanya kerana permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak diendahkan, seorang anak tergamak bertindak kasar cuba membelasah ibunya dengan sebatang besi.

Bagaimanapun, perbuatan biadab Ahmad Wira Abdul Ghani, 30, dari Taman Sinar Harapan, Bukit Besar, di sini, terhadap ibunya menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu diputuskan selepas Ahmad Wira mengaku bersalah dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Nafisah Abdullah, 58, di kediaman mereka di Jalan Taman Sinar Harapan, Bukit Besar, di sini, pada 30 September lalu, jam lebih kurang 9.30 malam.

Dengan itu, dia mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi manakala Ahmad Wira tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, Ahmad Wira mendekati ibunya meminta sejumlah wang namun mangsa tidak mengendahkan permintaan itu kerana sudah tidak tahan melayan karenah Ahmad Wira yang sering meminta wang.

Tindakan mangsa menyebabkan Ahmad Wira naik angin dan mengamuk sebelum bertindak mengambil sebatang besi untuk memukul mangsa namun berjaya dihalang oleh bapa sepupunya yang berada di lokasi kejadian.

Ahmad Wira yang masih tidak berpuas hati mengeluarkan kata-kata ugutan akan mencederakan mangsa sambil mengacukan sebatang besi yang diambil sebelum ini.