Advertisement

Responsive Advertisement

Nwakaeme mahu 'ngap' ATM

  • Nwakaeme mahu 'ngap' ATMNwakaeme menjalani latihan bersama rakan sepasukan sebagai persediaan menentang ATM, Jumaat ini. - Foto oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH

DIA digelar ‘pemain besi’ oleh pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Satiananthan walaupun pasukannya kecundang 1-2 kepada Kelantan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, tempoh hari.

Tidak perlu dipertikai kerana kemampuan Dickson Nwakaeme memporak-perandakan benteng pertahanan The Gladiators dengan mudah, membuatkan bekas jurulatih kebangsaan itu pening kepala, lantaran tidak ada satu pun pemain pertahanannya berupaya mengekang kelincahan penyerang import Nigeria itu.

Malah belum sempat Satiananthan memikirkan siapa yang akan memikul tugas merantai pergerakan Nwakaeme, pemain bertubuh sasa itu sekali lagi tampil melaungkan amaran dia mahu ‘bikin kecoh’ pada pertemuan timbal balik di Kota Bharu, Jumaat ini.

“Saya tidak peduli siapa dan berapa ramai yang akan mengawal saya pada perlawanan ulangan menentang ATM nanti.

"Sebenarnya kerja saya menjadi mudah kerana benteng pertahanan mereka tidak mempunyai pemain import.

“Terima kasih kepada jurulatih ATM yang menganggap saya kuat kerana ‘makan besi’. Saya sudah tidak sabar-sabar mahu mengulanginya, lebih-lebih lagi di hadapan penyokong setia Kelantan, Jumaat ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Malah pemain yang mula mendapat jolokan ‘Iron Man’ daripada penyokong The Red Warriors itu meletakkan sasaran peribadi mahu menjaringkan gol, memandangkan pertemuan menentang ATM merupakan aksi terakhir pasukannya di Kota Bharu, musim ini.

“Saya masih ingat gol pertama yang saya jaringkan ialah ketika menewaskan SHB Da Nang (kelab Vietnam) 5-0 pada Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia pada 2 April. Jadi, saya harap dapat berbuat demikian (menjaringkan gol) pada perlawanan terakhir di Kota Bharu ini,” katanya.

Di sebalik harapan menggunung itu, Nwakaeme yang merupakan penjaring terbanyak Kelantan dalam kempen Piala Malaysia dengan enam gol setakat ini mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang mudah pertemuan separuh akhir kedua itu.

“Kita kena tahu perlawanan ini merupakan talian hayat terakhir buat ATM untuk ke final. Mungkin sukar bagi mereka bangkit di Kota Bharu tetapi kami juga kena anggap aksi ini lebih sukar seumpama Kelantan bermain dalam perlawanan akhir,” katanya.

Menurutnya, hanya ATM dilihat satu-satunya pasukan yang mampu menghalang misi mereka mempertahankan kejuaraan kali kedua setelah skuad kendalian Bojan Hodak itu berjaya keluar daripada belenggu ‘kumpulan maut’ pada pertandingan paling berprestij musim ini.