Advertisement

Responsive Advertisement

Habuan perompak hanya RM250

  • Habuan perompak hanya RM250Azham memeriksa keadaan stesen minyak yang dirompak, kelmarin.

KOTA BHARU - Dua lelaki bertopeng dan memakai topi keledar dengan seorang daripadanya bersenjatakan pistol, merompak sebuah stesen minyak di Wakaf Che Yeh, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu, mereka berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM250 yang disimpan dalam laci di kaunter pembayaran stesen minyak tersebut.

Saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Azri, 25, berkata, dia hairan apabila pekerja stesen minyak memaklumkan operasi dihentikan ketika dia mahu mengisi minyak, sebelum melihat dua lelaki memakai topeng meluru keluar dari dalam kedai stesen minyak dan memecut motosikal.

“Saya cuba mengejar mereka tetapi apabila tiba di jambatan di Bunut Payong, kelibat mereka hilang  entah ke mana.

“Selepas kembali semula ke stesen minyak tersebut dan bertanya kepada pekerjanya kenapa mereka mendiamkan diri ketika berada di kaunter, salah seorangnya memberitahu takut kerana suspek bersenjatakan pistol,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, dua lelaki itu menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 berwarna gelap yang didapati tidak mempunyai nombor pendaftaran, mengambil masa seminit melakukan rompakan.

“Seorang daripada suspek mengacukan pistol kepada pekerja stesen minyak terbabit dan memaksa memberikan wang di dalam mesin wang. 

“Suspek melarikan wang tunai RM250. Kelibat mereka dirakam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kita akan melakukan siasatan lanjut,” katanya.

Azham berkata, dipercayai kedua-dua suspek telah merancang untuk melakukan rompakan berikutan nombor pendaftaran pada motosikal ditanggalkan.

Menurutnya, suspek juga dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika melakukan rompakan.

"Setakat ini suspek belum dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya.