Advertisement

Responsive Advertisement

Umpama dapat nyawa kedua

  • Umpama dapat nyawa keduaTertuduh (kiri) dibawa polis untuk ditahan di penjara sementara menunggu tarikh sebutan semula.

KOTA BHARU - Seorang pelayan kedai makan umpama mendapat nyawa kedua apabila tuduhan mengedar dadah yang dihadapinya digugurkan Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Keputusan dibuat Hakim, Datuk Azman Abdullah itu, sekali gus menyelamatkan Zulkifli Salleh, 38, daripada hukuman mati.

Namun, lelaki itu bukanlah selamat sepenuhnya apabila tuduhan baharu pula menyusul.

Zulkifli dari Kampung Kuala Merabang, Machang, didakwa untuk tuduhan pindaan memiliki 10 paket lut sinar kecil dan sepaket lut sinar besar mengandungi 43.31 gram dadah jenis metamphetamine.

Kesalahan didakwa dilakukan di Balai Polis Laloh, Kuala Krai, pada jam 10 malam, 7 Ogos lalu.

Tuduhan baharu dibuat di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus. Zulkifli bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu berdepan hukuman lain iaitu penjara seumur hidup atau untuk satu tempoh yang tidak kurang lima tahun dan juga akan dikenakan hukuman sebat minimum 10 kali.

Hukuman diputuskan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari.

Kes bersambung 24 November depan, manakala tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.