Advertisement

Responsive Advertisement

'Port' Betong kena serbu


KUANTAN - Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah bersama empat rakan sanggup bermalam di bawah khemah dalam hutan kecil berhampiran ladang sawit Kampung Paya Bungor dekat sini yang menjadi ‘port’ popular di kalangan penagih sekitar kawasan itu termasuk dari Seri Jaya, Gambang dan Pekan sejak tiga bulan lalu.

Lelaki berusia 26 tahun dipercayai penduduk tempatan itu turut menjadikan lokasi yang dikenali sebagai Port Betong itu sebagai tempat membungkus dadah berdasarkan penemuan sejumlah dadah jenis heroin dan tiub straw selain alat suntikan.

Aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di port itu berjaya dihidu pihak polis sebelum satu serbuan dilakukan kira-kira jam 4 pagi kelmarin.

Susulan Ops Tapis Khas Bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuantan dengan kerjasama anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Komersial, Balai Kuantan, Beserah, Jaya Gading dan Unit Anjing Pengesan (K9), pengedar dadah terbabit bersama  empat rakan berjaya dicekup ketika lena tidur awal pagi itu.

Operasi yang diketuai Inspektor Mohammad Izzuddin Zulkifly berhasil apabila penagih mula masuk ke kawasan port itu seawal jam 8 pagi dengan menaiki motosikal.

“Perangkap’ yang dipasang menjadi apabila kira-kira 30 penagih termasuk seorang wanita berjaya dicekup sepanjang operasi di kawasan itu.

Hasil pemeriksaan ke atas semua suspek, polis turut merampas sejumlah dadah jenis heroin, pil kuda dan syabu daripada tiga lelaki yang ditahan termasuk pengedar terlibat.

Polis juga turut merampas pelbagai jenis senjata tajam, lampu suluh, alat suntikan dan alat membungkus dadah.

Kebanyakan penagih yang ditahan berasal dari kawasan sekitar namun ada yang sanggup menaiki bas dari Pekan dan Seri Jaya, Maran sebelum berjalan kaki masuk kawasan itu semata-mata untuk mendapat bekalan dadah dan melepas gian di situ.

Seorang lelaki dari Seri Jaya, Maran yang baru beberapa hari keluar hospital akibat patah kaki dihempap pokok sanggup mendaki bukit ke port itu dengan kaki masih bersimen dan bertongkat untuk melepaskan gian.

Manakala wanita yang lengkap berbaju kurung mendakwa ke port itu untuk mendapatkan bekalan dadah dipesan suami.

Kedudukan port strategik 

Kedudukan di kawasan berbukit dilindungi rumpun buluh begitu strategik untuk kegiatan penagihan dadah memandangkan mereka mudahmenyedari kehadiran pihak berkuasa dan melarikan diri sekiranya serbuan dilakukan.

Hasil siasatan juga mendapati satu kawasan dikhaskan sebagai tempat pemantauan bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa dan sekiranya ada kehadiran individu mencurigakan, isyarat tertentu akan di berikan.

Gadis bawah umur turut ditahan 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad dalam sidang media di lokasi itu berkata, selain port itu, pihaknya turut menjalankan operasi di beberapa port lain sekitar Gambang dan Jaya Gading.

Menurutnya, susulan operasi itu, 50 penagih berusia 18 hingga 59 tahun termasuk seorang gadis bawah umur  berjaya ditahan.

“Operasi disertai tiga pegawai dan 30 anggota ini berjaya apabila kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di kawasan itu dapat dibanteras.

“Anggaran berat kasar keseluruhan dadah yang berjaya dirampas belum diperoleh setakat ini (lepas operasi).

“Kita percaya dadah yang dibekalkan salah seorang yang ditangkap hasil operasi ini  untuk penagih kawasan sekitar namun sumber bekalan masih dalam siasatan,” katanya.

 Menurutnya, senjata tajam yang dirampas difahamkan untuk melindungi diri pengedar dan wang hasil dadah daripada disamun.

“Dalam operasi ini kita turut merampas kira-kira 20 buah motosikal untuk siasatan lanjut sama ada ia motosikal curi dan sebagainya kerana ada sebahagiannya tiada dokumen dan nombor pendaftaran,” katanya.

Abdul Aziz berkata, semua yang ditahan di bawa ke IPD Kuantan untuk siasatan lanjut termasuk menjalani saringan air kencing.