Advertisement

Responsive Advertisement

Bayi hidap jantung berlubang


PEKAN TAJAU - Seorang bayi berusia tiga bulan yang disahkan menghidap jantung berlubang perlu menjalani pembedahan segera di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur dijangka pada 17 Oktober ini dengan kos rawatan sebanyak RM70,000.

Bayi terbabit, Nurul Amirah Shahila Mohd Ali dilahirkan dalam keadaan sihat namun disahkan menghidap penyakit berkenaan ketika berusia sebulan lebih.

Ibu bayi berkenaan, Nurul Ain Singah, 29, berkata, bayinya dilahirkan normal namun sebulan kemudian, Nurul Amirah Shahila mengalami batuk yang teruk selama tiga hari.

Menurutnya, dia bersama suami membawa bayinya itu ke poliklinik berdekatan untuk rawatan namun tidak berkesan.

“Kemudian, kami rujuk ke Hospital Temerloh dan doktor maklumkan anak saya ada masalah jantung.

“Saya tergamam saat itu namun cuba bersabar dan menerima ketentuan Ilahi,” katanya.

Nurul Ain berkata, kos RM70,000 itu tidak termasuk kos penginapan selain perlu membuat pembayaran deposit sebanyak RM500.

“Pembedahan perlu dilakukan segera kerana saluran pernafasan anak saya semakin sempit dan berbahaya kepada kesihatannya,” katanya.

Sementara itu, bapa bayi itu, Mohd Ali Awang, 31, berkata, mereka sekeluarga tidak mampu menampung kos pembedahan memandangkan pendapatan bulanannya sebagai pemandu lori pasir sekitar RM1,800.

“Gaji saya tak menentu, isteri pula tak bekerja sejak lahirkan anak kedua kami.

“Setakat ini, kami masih belum terima bantuan daripada mana-mana pihak dan saya sedang berusaha dapatkan bantuan daripada Kebajikan Sosial untuk ringankan beban kewangan. Saya harap, ada pihak sudi bantu kami,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Nurul Ain, 06090036299526 atau menghubungi pasangan suami isteri ini di talian 013-9372810 atau 014-8283184.