Advertisement

Responsive Advertisement

Tempah kad pengenalan palsu RM500



RAWANG - Usaha seorang lelaki  menyamar sebagai rakyat negara ini tidak berhasil apabila pemeriksaan mendapati kad pengenalan yang dimiliki disahkan palsu.  

Lelaki berbangsa Sulu berusia 25 tahun  ditahan di sebuah rumah di kawasan flat di Country Heights, Rawang  pagi semalam  selepas  pemeriksaan  pada cip kad pengenalan oleh penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara mengesahkan ianya milik orang lain.

Pengarah Siasatan Dan Penguatkuasaan JPN, Wan Zakaria Wan Awang berkata, lelaki yang ditahan dikenali sebagai Faisal Akhir Jaman, berumur  25 tahun. Pemeriksaan pihaknya mendapati Faisal menggunakan maklumat milik Abdul Gaim Sahiddan pada kad pengenalannya.

“Kami berjaya mengesan pemalsuan kad pengenalan tersebut apabila gambar Abdul Gaim muncul pada paparan skrin alat pengesan kad pengenalan kami,” katanya.

Zakaria berkata, walaupun maklumat pada base card (kad pengenalan) boleh ditukar, namun maklumat di dalam cip pada kad pengenalan tidak dapat ditukar sama sekali.

Menurutnya, pihaknya belum membuat tangkapan ke atas individu yang mengeluarkan kad pengenalan palsu ini dan pihaknya masih memburu individu terbabit.

"Lelaki tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dalam operasi berakhir jam 3 pagi itu, enam lagi warga asing turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.