Advertisement

Responsive Advertisement

TMJ: Terima positif kekalahan


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima dengan positif kegagalan Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Beliau turut mengakui kegagalan melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia selepas tewas kepada Kelantan menunjukkan pasukan tidak bernasib baik, namun tidak bermakna sudah gagal.

“Kita merupakan kuasa baru yang sedang bangkit. Kekalahan hari ini adalah kemenangan hari esok.

“Sekiranya saya gagal membimbing Johor untuk menjulang sebarang piala pada musim 2014, saya akan meletakkan jawatan saya selaku Presiden PBNJ. Itu janji saya,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari menerusi fanpage Facebook, Johor Fan Club, semalam.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor berkata, segala dicapai pada musim ini hanyalah permulaan.

“Kita kalah dalam perlawanan ini, tetapi semangat membina empayar bola sepak yang hebat tidak pernah luntur.

“Kejayaan tidak datang dengan sekelip mata, ianya memerlukan masa. Dan masa tersebut akan bermula pada 22 November ini,” katanya.

Beliau turut mengakui berkongsi keperitan yang sama dengan semua peminat.

“Saya inginkan impian masa hadapan lebih baik daripada sejarah yang lalu. Hidup mati Johor,” katanya.