Advertisement

Responsive Advertisement

TRW yakin padam jaringan


TIDAK seperti kelaziman, kali ini pengendali Kelantan, Bojan Hodak memilih mengadakan sesi latihan tertutup di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin sebagai persiapan terakhir sebelum menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, malam ini.

Pada latihan itu, peminat The Red Warriors langsung tidak dibenarkan memasuki stadium kecuali segelintir media tempatan sahaja sekali gus menjadi perancangan jurulatih kelahiran Croatia bagi menyembunyikan percaturan taktikalnya untuk berdepan skuad kendalian Azmi Mohamed.

Katanya, semangat ‘This Is Kota Bharu’ mengiringi perjuangan misi hidup dan mati barisan pemainnya dan beliau yakin Kelantan mampu memadamkan kelebihan dua gol dimiliki Johor DT, malam ini.

“Saya tahu dua gol merupakan margin yang cukup besar. Memang sukar jika anda ketinggalan dengan jumlah jaringan itu tetapi dalam bola sepak tiada yang mustahil. Kami masih ada 90 minit lagi.  

“Ya, kami akan beraksi di hadapan penyokong sendiri malam ini. Saya yakin faktor itu akan membantu kami mencapai kemenangan. Jika aksi seperti babak kedua di Larkin berulang, saya tidak nampak mengapa Kelantan tidak boleh menewaskan Johor DT,” katanya.

Menurutnya, meski pun ketinggalan dua gol berdasarkan agregat semasa, namun pemainnya tidak tertekan sebaliknya akan beraksi seperti biasa, malah beliau percaya pasukan Johor DT sebenarnya akan berdepan masalah beraksi di Kota Bharu, malam ini.

“Biasa-biasa sahaja, tidak ada ramuan khas untuk bertemu Johor DT. Saya kehilangan Mohd Daudsu Jamaluddin untuk tempoh lama dan Zairul Fitree Ishak pula baru pulih daripada kecederaan. Saya hanya buat sedikit perubahan di benteng pertahanan untuk pertemuan malam esok (ini),” katanya.

Hodak bagaimana pun sedar usaha Kelantan menewaskan Johor DT bergantung sejauh mana pasukannya memperoleh jaringan awal dan beliau tidak mempunyai pilihan selain mengarahkan anak buahnya bermain mati-matian.

Mengulas kemungkinan Johor DT beraksi dengan corak permainan bertahan bagi mengekalkan kelebihan jaringan tersebut, Hodak akui tidak menolak perkara itu namun beliau lebih bimbang ancaman lawan yang berkebolehan menyerang balas dan sepakan bebas.  

“Mohd Safee Sali, Awe (Mohd Nurul Azwan Roya) dan Matyo (Norshahrul Idlan Talaha) merupakan tiga pemain berbahaya bagi Kelantan,” katanya.