Advertisement

Responsive Advertisement

President Warriors mara ke final


KOTA BHARU – The President Warriors melangkah bergaya ke perlawanan akhir saingan Piala Presiden 2013 setelah menyingkirkan Johor menerusi agregat 1-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam.

Jaringan tunggal pemain tengah, Mohamad Rozaimi Azwar Mat Noor pada awal babak kedua cukup buat skuad kendalian Sideek Samsudin melakar sejarah beraksi di pentas final setelah kali terakhir berbuat demikian dua tahun lalu.

Kelantan yang melakukan sepak mula hampir mendapat gol awal pada minit keenam namun sepakan percuma di luar kotak penalti oleh Mohamad Shahrul Hakim tepat ke dakapan penjaga gol Johor, Muhammad Syafizullah Bin.

Tuan rumah terus memberi tekanan kepada pelawat pada minit ke-19 apabila sepakan lambung Mohamad Khairudin Ramli ditampan kemas Mohd Faiz Mohd Nasir, namun hantaran lintangnya digagalkan Muhammad Syafizullah.

Walaupun buntu apabila hantaran-hantaran jauh mereka sering dipatahkan benteng pertahanan Kelantan, Johor hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-22 melalui umpanan bijak Mohd Afiq Fazail yang gagal disudahkan Shahwan Shahruddin.

Kelantan kembali mendominasi perlawanan seminit kemudian apabila memperoleh sepakan percuma yang menyaksikan tendangan Fakrul Zaman Wan Abdullah Zawawi terbias pertahanan Johor namun percubaan susulan Mohamad Khairudin dikuis keluar Muhamad Syafizullah.

Johor yang turut memburu slot ke final seharusnya mendahului Kelantan pada minit ke-34 namun kecekapan penjaga gol tuan rumah, Muhammad Fakhrul Ikram Azahari berjaya menafikan percubaan Che Rashid Che Halim seterusnya menepis keluar rembatan Mohd Afiq pada minit-minit akhir babak pertama.

Pelawat memberi tekanan kepada tuan rumah sebaik sahaja babak kedua bermula melalui rembatan kencang Mohd Afiq dari luar kotak penalti, namun sekali lagi Muhammad Fakrul Ikram bertindak cemerlang apabila pantas melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Tiba pada minit ke-54, Mohamad Rozaimi menggembirakan hampir 2,000 penyokong setia Kelantan yang menggamatkan suasana stadium dengan sorakan apabila berjaya menanduk masuk gol kemenangan pasukan tuan rumah.

Segala-galanya berpunca dari gerakan solo Mohd Faiz yang berjaya memperdayakan pemain pertahanan Johor sebelum hantaran silangnya disempurnakan Mohamad Rozaimi untuk menewaskan Muhammad Syafizullah.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Ramlan Rashid cuba bangkit memberi tentangan namun benteng pertahanan tuan rumah seakan terlalu kebal untuk ditembusi pemain mereka.

Satu-satunya peluang terbaik pelawat hadir pada minit ke-66 namun hantaran jauh Mohamad Hasbullah Abu Bakar gagal disambar Che Rashid ketika penjaga gol tuan rumah lebih pantas meluru keluar menyelamatkan keadaan.

Sebaliknya, Mohd Faiz atau dikenali sebagai Messi Kelantan terus menjadi duri dalam daging buat Johor apabila memperdayakan tiga pemain pertahanan lawan tiga minit kemudian namun hantaran lintangnya pula gagal disempurnakan Mohamad Azyu Ikmal Che Mat Nor dan Mohamad Shahrul Hakim.

Bagaimanapun, Johor tidak berputus asa dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-71, namun percubaan Shahwan Saharuddin ditepis keluar oleh Muhammad Fakhrul Ikram yang turut menangkap kemas rembatan Syafiq Shaharuddin, lapan minit kemudian.

Usaha keras pelawat pada minit ke-81 turut berakhir dengan kekecewaan apabila rembatan Syafiq setelah melepasi perangkap ofsaid mudah dipatahkan pemain pertahanan tuan, Mohammad Faiz Suhaimi.

Johor melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Mohd Shafiq Baharuddin dan Mohamad Taufik Nasnor Hadi pada minit ke-83 dan 87 namun itu tidak banyak membantu sebaliknya mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada masa kecederaan setelah Che Rashid diperintahkan keluar padang setelah mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan tersebut.

Sementara itu, pengendali Kelantan, Sideek merupakan individu paling gembira setelah berjaya membawa pasukannya ke perlawanan akhir untuk bertemu penyandang juara, Perak pada 12 Oktober ini.

“Kejayaan ini milik semua pemain dan pegawai pasukan yang bertungkus-lumus selama ini. Sudah pasti sasaran kami ialah mahu merampas kejuaraan yang dimenangi Perak pada musim lalu,” katanya sejurus perlawanan berakhir.