GEORGETOWN - Seorang wanita warga India dijatuhi hukuman gantung oleh mahkamah tinggi, di sini, semalam, selepas didapati bersalah mengedar ketamin seberat 3.47 kilogram yang disorok dalam tiub komponen alat senaman, tahun lalu.
Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa Sarumathi Rengasamy, 47, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Wanita itu yang mempunyai seorang anak lelaki, didakwa mengedar dadah di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, kira-kira jam 12.20 tengah hari, 2 Jun tahun lalu.
Dalam penghakimannya, Zamani berkata, mahkamah tidak percaya dengan keterangan tertuduh yang mendakwa tiub yang dipercayai komponen alat senaman yang mengandungi dadah itu diberikan kepadanya oleh seorang lelaki tidak dikenali di India.
“Keterangan Sarumathi gagal mematahkan kes pendakwaan dan mahkamah mendapati bersifat penafian semata-mata.
"Oleh itu, mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati,” katanya.
Dalam pembelaan, Sarumathi mendakwa di lapangan terbang di Calcutta, India, seorang lelaki yang tidak dikenalinya meminta bantuan untuk membawa alat senaman kepada makciknya yang sakit di Pulau Pinang.
Wanita itu turut menyatakan walaupun pada awalnya menolak permintaan lelaki berkenaan, akhirnya dia akur dengan permintaan itu atas dasar belas kasihan dan dia tidak mempunyai pengetahuan mengenai dadah yang disorok di dalam komponen alat senaman itu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Mohd Khairuddin Idris manakala Sarumathi diwakili Baldev Bhar yang dilantik mahkamah.