KUALA LUMPUR: Mulai Isnin ini, Pos Malaysia menawarkan lapan reka bentuk baru bagi setem peribadi yang dikenali sebagai ‘SetemKu’ untuk orang perseorangan dan syarikat korporat.
Ketua Setem dan Filatelinya, Yasmin Ramli berkata bagi orang perseorangan mereka ditawarkan empat tema iaitu ‘perayaan’, ‘tulus ikhlas’, ‘bendera Malaysia’ dan ‘salam’.
Tema ‘perayaan’ mempunyai latar belakang gambar belon yang diikat dengan sebuah kotak hadiah berserta bunga api, tulus ikhlas berlatarbelakangkan gambar orkid, ‘bendera Malaysia’ pula memaparkan gambar Jalur Gemilang dan bunga raya, dan ‘salam’ memaparkan lambang cinta, katanya pada sidang berita di sini semalam.
Beliau berkata, reka bentuk itu sesuai untuk digunakan bagi sambutan hari lahir, ulang tahun perkahwinan, cenderamata dan kad ucapan hari perayaan, dan pelanggan boleh memaparkan imej peribadi pilihan mereka di dalam ruangan bersebelahan setem itu.
Sementara itu, ‘SetemKu’ korporat pula memaparkan empat tema iaitu ‘Bendera Malaysia’, ‘Flora & Fauna’, ‘Batik’ dan ‘Latarlangit’ yang bersesuaian untuk diguna oleh organisasi swasta atau kerajaan sebagai inisiatif penjenamaan syarikat mereka atau meraikan majlis khas, selain digunakan untuk pengeposan surat kepada pelanggan.