Advertisement

Responsive Advertisement

Suami isteri nyaris ditikam selepas telefon dilarikan

AMPANG: Sepasang suami isteri nyaris ditikam dengan botol kaca pecah gara-gara cuba mengambil semula telefon bimbit yang dilarikan seorang lelaki warga Afrika di Pandan Perdana, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, pasangan berusia 27 tahun itu singgah di sebuah kedai nombor ekor di Pandan Perdana manakala si isteri yang ke kaunter untuk membeli nombor terbabit, meletakkan telefon bimbit Samsung Galaxy S Plus di tepinya.

Menurut sumber, tiba-tiba suspek muncul lalu mengambil telefon bimbit itu sebelum melarikan diri menyebabkan mangsa terkejut dan menjerit meminta tolong.
“Suaminya yang menyedari kejadian itu cuba mengejar suspek, namun gagal. Mereka yang tidak berpuas hati kemudian mencari lelaki itu di sekitar kawasan terbabit.

“Usaha mereka berjaya apabila menemui suspek sedang makan di sebuah restoran kira-kira jam 8 malam di kawasan Pandan Perdana,” katanya.

Sumber berkata, pasangan suami isteri terbabit kemudian bersemuka dengan suspek dan meminta dia memulangkan semula telefon mereka, namun lelaki itu enggan menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.
“Pertengkaran terbabit menjadi lebih ganas apabila suspek memecahkan botol kaca dan cuba menikam mereka, namun gagal. Mangsa yang bimbang, beredar dari situ dan meminta bantuan rakan.

“Mangsa bersama rakan kemudian bersemuka semula dengan suspek dan sekali lagi meminta dia menyerahkan telefon itu, tetapi tetap gagal, malah lelaki itu bertindak lebih ganas membaling botol kaca ke arah mereka,” katanya.
Menurutnya, mereka yang bimbang dengan amukan suspek, beredar dan membuat laporan di Balai Polis Pandan Perdana.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.