Advertisement

Responsive Advertisement

Semangat kahwin muda

BATU PAHAT: Berkahwin pada usia muda tidak menghalang anak pemandu lori, Shahzada Khan Nawab Khan, 24, untuk merangkul Anugerah Diraja Sempena Majlis Konvokesyen Ke-12 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, semalam.
Menurut Shahzada, dia berkahwin ketika berumur 23 tahun dan menuntut di tahun ketiga sarjana muda kejuruteraan mekanikal.

“Kami berkenalan ketika menghadiri kem untuk biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman. Saya bersyukur kerana isteri, Elliyin Yasif, 24, banyak memberi dorongan untuk saya berjaya.
“Semangat untuk belajar ketika mengikuti pengajian selama lima tahun di sini tidak pernah luntur walaupun Elliyin berada di Johor Bahru kerana menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai,” katanya.

Menurut Shahzada yang memperoleh Purata Nilai Gred kumulatif (CGPA) 3.89, menuntut ilmu ketika bergelar suami tidak sesukar seperti dibayangkan.

Katanya, walaupun berjauhan kerana melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) berlainan, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk berusaha meraih kejayaan.
“Ibu bapa juga banyak memberi dorongan, keluarga kami bukan di kalangan orang senang dan saya akan gunakan kejayaan ini untuk mengubah nasib keluarga,” katanya.

Shahzada seorang daripada 2,775 graduan yang bakal menerima diploma dan ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UTHM ke-12 yang bermula hari ini.
Bagi pasangan kembar yang mengambil jurusan sarjana muda kejuruteraan mekanikal, Muhamad Nazeri Tumiry dan Muhamad Sani, 27, mereka bangga kerana menggenggam ijazah bersama-sama.

Menurut Nazeri, dia dan adiknya menyewa bersama bagi memudahkan mereka mengulang kaji pelajaran.

“Kami mengulang kaji pelajaran bersama walaupun daripada kelas berbeza. Ini kerana kami mengambil jurusan sama.

“Kami merancang untuk mengambil jurusan sama bagi memudahkan urusan kami, ia juga mendapat sokongan ibu bapa dan keluarga,” katanya.