Advertisement

Responsive Advertisement

2 rakan didakwa miliki dadah


KOTA BHARU - Dua sahabat berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan memiliki 44 gram dadah jenis metamphetamine, 5 September lalu.

Tuduhan terhadap kedua-duanya dibuat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Wan Amin Nasri Wan amin, 27, dan Mohd Hanafi Mohd Dom, 29, didakwa memiliki dadah yang juga dikenali sebagai pil kuda itu di tepi Jalan Merbau berhadapan sebuah sekolah di situ, pada jam 2 pagi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari.

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun atau seumur hidup dan diwajibkan tidak kurang 10 sebatan rotan.

Pada prosiding semalam, kedua-dua lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu menafikan tuduhan tersebut menyebabkan Hakim, Mohd Yusoff Yunus menetapkan sebutan semula pada 23 Oktober depan.

Sementara itu, mereka tidak dibenarkan diikat jamin.