Advertisement

Responsive Advertisement

Rampas RM2.2 juta minyak petrol


KOTA BHARU - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan berjaya merampas lebih RM2.2 juta minyak petrol dan diesel semasa menjalankan Ops Ketirisan.

Timbalan Pengarah PPDNKK Kelantan, Ab Ghani Harun berkata, operasi tersebut diadakan sejak 1 Jun 2011 sehingga semalam dengan kerjasama anggota Ikatan Relawan Malaysia (Rela) yang memantau.

“Tindakan rampas dihasilkan melalui 161 kes dengan nilai rampasan lebih RM2.2 juta melibatkan 151 kenderaan.

“Rampasan ini melibatkan minyak petrol Ron95, Ron97, diesel dan lain-lain barangan subsidi kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM358,161,” katanya kepada pemberita selepas Program PPDNKK Kelantan Bersama Masyarakat, di Unit Pengurusan Ekshibit PPDNKK, semalam.

Pada majlis berkenaan, seramai 50 anak-anak yatim Taman Sabariah diraikan dan diberikan sumbangan, selain turut hadir tetamu kehormat dan ketua jabatanAb Ghani berkata, rampasan tersebut biasanya bertumpu di kawasan sempadan seperti di Pengkalan Kubor, Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Batu Melintang.

Pada masa yang sama, beliau berkata, terdapat beberapa tindakan diadakan pihak berkenaan bertujuan mengatasi harga barangan keperluan pasaran termasuk Ops Harga 2013.

“Sehingga 15 September ini, sebanyak 30,577 pemeriksaan premis dijalankan di seluruh Kelantan menghasilkan 299 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan RM183,320 dan nilai kompaun pula sebanyak RM16,450.

Katanya, pendekatan ‘turun padang’ bersama masyarakat turut dijalankan bagi memberi peluang kepada orang awam menyuarakan aduan dan cadangan, selain membuka Bilik Gerakan sehingga jam 10 malam bagi menerima aduan berkenaan.